Tuesday, February 3, 2015

Masjid Lama Pegkalan Kakap

Masjid Pengkalan Kakap, Merbok, Kedah
Photo taken on January 2015

Masjid ni agak istimewa bagi aku dari segi senibina dan lokasi. Jadi aku kongsi kan gambar resolusi tinggi dari DSLR aku. 
off course....gambar yang lum edit. Yang dah edit kena beli la.

Lokasi GPS masjid ni.









Di bawah ini adalah satu artikel dari website Utusan Malaysia pada 12.5.2005


Penemuan bersejarah Islam mula bertapak di Kedah bukan Melaka


ARKIB : 12/05/2005
Struktur masjid

- Dipercayai berusia lebih 1,100 tahun
- Tertanam sedalam 140 meter
Oleh Rosmawati Mion
PENEMUAN struktur bangunan dipercayai masjid di Pengkalan Bujang, Merbok baru-baru ini menguatkan lagi dakwaan sebilangan ahli sejarah bahawa Islam telah bertapak di Negeri Kedah lebih awal dari Melaka.
Lebih-lebih lagi struktur bangunan yang berusia lebih 1,100 tahun dan tertanam sedalam 140 sentimeter itu jika diamati dengan lebih dekat menyamai reka bentuk sebuah masjid tertua di Kedah yang terdapat di Kampung Pangkalan Kakap, tidak jauh dengan tempat penemuan terbaru itu.
Jika dikaji sejarah awal, Lembah Bujang sememangnya sudah termasyhur sebagai sebuah pelabuhan besar dan pusat dagangan yang didatangi oleh pelbagai bangsa, budaya dan agama dari seluruh pelusuk dunia untuk tujuan berniaga.
Pedagang-pedagang yang belayar melalui Lautan Hindi dan Selat Melaka berpandukan puncak Gunung Jerai sebagai mercu tanda sebelum berlabuh di muara Sungai Merbok di utara Semenanjung Tanah Melayu yang juga dikenali Semenanjung Emas.
Namun begitu, struktur bangunan baru yang sedang dalam kajian pihak muzium itu tetap menimbulkan pelbagai andaian lain lebih-lebih lagi sebahagian besar struktur yang ditemui di Lembah Bujang adalah tapak candi bersama dengan artifak-artifak seperti seramik, manik, celedon yang kesemuanya menjurus kepada agama Hindu dan Buddha.
Menurut Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Kedah, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof, penemuan terbaru itu dipercayai sebuah masjid memandangkan tiada penemuan artifak lain yang cenderung kepada agama lain sama ada di dalam atau di sekitarnya.
Struktur menyerupai masjid itu ditemui dibina antara tapak kuil Hindu dan Buddha yang dijumpai di kawasan itu sebelum ini. Bagaimanapun terbongkarnya bahan sejarah baru itu secara tidak langsung sudah mampu membuktikan bahawa Islam sememangnya lebih dahulu bertapak dan berkembang di Kedah.
Tulis
Kata Wan Shamsudin, dalam sebuah buku lama yang ditulis oleh seorang pengarang Istana Kedah, Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad pada 1928 yang bertajuk Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah telah menyatakan bahawa Islam secara rasminya diterima di Kedah pada tahun 1136 Masehi atau 531 Hijrah iaitu 300 tahun lebih awal berbanding Melaka.
Dalam buku itu juga tertulis bahawa nama raja terakhir beragama Hindu yang memeluk Islam adalah Maharaja Derbaraja II dengan nama Islamnya Sultan Mudzaffar Shah yang dikatakan telah diIslamkan oleh seorang pendakwah dari Yaman bernama Syeikh Abdullah.
Meneliti butiran buku tersebut, dinyatakan juga bahawa Islam bermula di Kota Bukit Meriam di Kuala Muda dan kemudiannya berpindah-pindah sehinggalah ke Alor Star iaitu dengan Sultan yang ke-28 di bawah lapan pusat pemerintahan.
Wan Shamsudin menegaskan lagi, terdapat bukti-bukti terawal yang menunjukkan Islam telah bertapak di Kedah sebelum secara rasminya tetapi tidak berkembang secara menyeluruh iaitu penemuan kepingan batu bersurat di Bukit Tupah, Merbok bertarikh 828 Masihi bersamaan 214 Hijrah dan di batu itu tercatat nama Ibni Sirdhan.
Kata Shamsudin, Ibni Sidhan ini mungkin seorang pendakwah dari Timur Tengah yang telah mula memperkenalkan dan memperkembangkan Islam di Kedah.
Bukti lain yang ditemui adalah sebatang nisan di sebuah perkuburan lama di Kampung Tanjung Inggeris berhampiran Pekan Langgar yang bertarikh 3 Rabiulawal 291 Hijrah/904 Masehi yang tersembunyi dalam sebuah busut besar dan nama yang terukir di batu nisan itu adalah Syeikh Abdul Kadir.
Menurut kaji selidik yang dilakukan oleh beberapa orang profesor juga menunjukkan bahawa Syeikh Abdul Kadir merupakan seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah yang mengembangkan Islam di daerah itu.
Pada waktu yang sama iaitu pada abad ke-9 dan 10, dari catatan para pedagang dan pendakwah atau ahli pelayaran dari Timur Tengah menunjukkan bahawa mereka sudah ramai datang berniaga di Kedah. Di samping berniaga, mereka turut menggunakan kesempatan memperkenalkan Islam.
Pemberontakan
Selain itu, ketika itu juga telah berlaku pemberontakan di Canton (Ghuangzhou) dan seramai 200,000 orang pedagang dari Timur Tengah terpaksa meninggalkan pelabuhan Canton kerana takut dan mereka menuju ke pelabuhan lain seperti Kedah (Lembah Bujang) dan Palembang.
Kesimpulan daripada maklumat dan bukti yang diperolehi itu menunjukkan Islam telahpun bertapak pada abad yang ke-9 dan 10 secara tidak rasmi. Manakala secara rasminya Islam bertapak pada 1136 Masehi apabila Sultan mula memeluk agama Islam di Bukit Meriam.
``Jadi pendapat-pendapat atau kajian awal tidak begitu tepat dan tidak boleh diguna pakai lagi apabila menyatakan Islam mula bertapak di Melaka pada 1424 Masehi iaitu sewaktu Parameswara memeluk Islam sedangkan Kedah sudah 300 tahun lebih awal menerima kedatangan Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Bukti kedua pula ditemui seakan-akan mihrab yang menghala ke arah kiblat di dalam bangunan berkenaan semasa kerja ekskavasi dijalankan dan tidak pula terdapat sebarang artifak yang berkaitan dengan agama Hindu dan Buddha.
``Ini menunjukkan kesucian tempat itu dijaga, `` kata Wan Shamsuddin dan menjelaskan ia mungkin dibangunkan oleh pedagang yang datang ke Timur Tengah dengan izin penduduk di kawasan itu pada abad ke 10. Kalau kajian dibuat dengan lebih terperinci dan diakui oleh ahli-ahli arkeologi, kita mungkin akan boleh menukar catatan sejarah sekiranya terbukti Islam mula datang ke Kedah.
Satu lagi yang hendak ditekankan, janganlah mendakwa orang yang mendirikan rumah-rumah ibadat itu adalah orang-orang Hindu atau India tetapi oleh orang-orang Melayu tempatan yang beragama Hindu atau Buddha kerana struktur binaan itu adalah senibina Melayu orang tempatan.

No comments:

Post a Comment